Simple Template For Entertainment News


Tempat Informasi Kegiatan Kader DPC PKS Gajahmungkur


GALLERY


Senin, 26 April 2010

Tabi'at Jalan Dakwah


Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam. [QS: 26: 109; 127; 145; 164; 180]

Demikianlah ayat-ayat Allah membentak-bentak ke dalam jiwa, berulang-ulang, selepas satu zaman, tiba zaman yang lain, sebagai satu pengajaran, satu pendidikan, satu peringatan kepada mereka yang menyambung tugas para Rasul dan Nabi tercinta dalam surah asy-Syu’ara. Cukup jelas dan terang bahawa para Rasul dan Nabi yang diutus Allah memahami bahawasanya tanggungjawab dan taklifan yang mereka songsong dan dukung ini hanya Allah sahaja yang membalasnya, dan manusia tidak bisa memberi sebarang ganjaran pun ke atas setiap usaha kita.

Bermula dengan kisah nabi Nuh a.s, baginda menyeru umatnya selama 950 tahun kepada Allah SWT, dan selama itulah dia tetap berpegang bahawasanya tidak sekali-kali mereka ini (umat nabi Nuh) mampu untuk memberi balasan kepada usaha dakwahnya. Dan dia tidak pula akan berhenti sekalipun tawaran yang diberikan amat besar pada mata manusia, kerana baginda memahami bahawa dirinya dipilih oleh Allah SWT untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Begitulah juga akan perihal nabi Hud a.s., baginda tidak berhenti menyeru manusia kepada Allah, meski ummatnya, kaum Aad yang amat bongkak dan gemar mempamerkan kekayaan mereka dengan membina bangunan-bangunan pada tanah yang tinggi serta benteng, merasakan bahawa mereka akan kekal hidup lama di dunia.

Dan ketetapan Allah ini bersambung terus melewati beberapa zaman. Nabi Saleh, Nabi Lut, Nabi Syu’aib, sehinggalah kepada nabi Muhammad SAW. Bahawa baginda sendiri tidak mengharap kepada ganjaran dan balasan daripada manusia, sedang dia tahu dan faham bahawasanya dia adalah utusan Allah yang mana segala pembalasan yang terbaik datang dari-Nya. Ingatlah ketika mana Abu Talib yang ketika itu masih lagi menjadi pemimpin kaum Quraisy, cuba untuk memujuk baginda nabi agar memberhentikan dakwahnya kepada orang Quraisy, baginda membalas dengan katanya; “Sekalipun matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, aku akan tetap meneruskan tanggungjawabku, sehingga wahyu Allah mengatasi segala-galanya sehingga aku sendiri sudah tiada”.

Iya, jalan ini, jalan dakwah ini, ialah satu jalan yang tidak menjanjikan sebarang sesuatu pun bagi mereka yang berada di dalamnya. Mereka yang bersatu hati atas iman, memegang janji mendukung risalah di atas gerabak ini perlu memahami bahawasanya amal dan usaha dakwah ini tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, kakayaan, pangkat, harta dan jawatan. Bahkan, kita sendirilah, para penyongsong, pendukung risalah yang lebih lagi perlu berkorban, agar kita bisa tertebus di akhirat kelak tidak berdiam diri dan ikhlas menyeru manusia ke jalan Allah.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. [QS:9:111]

Di awal bab kitab majmu’ah rasa`il, asy-syahid imam Hassan al-Banna menulis tentang empat golongan yang para kader dakwah akan hadapi, dan salah satu daripada mereka ialah mereka yang mengharapkan sesuatu sebagai ganjaran, balasan, seandainya mereka turut serta di dalam gerabak dakwah ini. Kepada mereka, kita katakan; “minta maaf, kami tidak memiliki apa-apa ganjaran selain pahala yang Allah akan berikan jika anda ikhlas dan syurga jika Allah tahu hati budi baik anda. Kami tidak punya apa-apa kedudukan atau wang. Malah sebaliknya kami korbankan segala yang kami miliki. Harapan kami hanyalah keredhaan Allah. Allah adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi kemenangan.”

Begitulah yang kita fahami. Bahawa tabiat jalan dakwah ini tidak ditaburi bunga, jauh dan panjang. Kita tidak bisa mengharap bahawa jalan ini akan menjadi mudah dan tiada sesiapa yang akan menentang, dan semua orang akan mengikut rentak alunan seruan kita kepada Allah. Kerana ini satu ketetapan daripada Allah;

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. [QS:9:42]

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. [QS:2:155]

Penyaksian ke atas syahadah yang kita lakukan, tidak semata-mata pada lafaz, tetapi ia juga perlu kepada penghayatan akan pengertian risalah yang tersirat pada kalimah ini, seterusnya ia akan menjana dan memandu bukan sahaja akal, malah anggota ke arah menundukkannya ke jalan Allah dengan cara meninggikan kalimah-Nya, hukum-Nya dan kehendak-Nya. Dan dalam jalan ke arah melaksana dan membuktikan keimanan kita ini kepada Allah, tidak dapat tidak, kita akan diuji untuk memastikan sejauh mana keteguhan hati dan jiwa kita untuk melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [QS:29:2-3]

Pernah satu ketika ummat Islam ketika zaman Rasulullah diuji dengan ujian yang amat berat, sehingga menggoncang keimanan mereka lantas mereka bertanya kepada Rasulullah, “bilakah akan tibanya bantuan Allah?” maka Rasulullah SAW merah padam mukanya menahan marah bersabda;

“Di antara orang-orang sebelum kalian, ada yang digalikan sebuah lubang untuknya. Ia dimasukkan ke dalamnya, didatangkan sebuah gergaji lalu diletakkan di atas kepalanya dan ia pun dibelah menjadi dua. Ada juga yang disisir dengan sisir besi sampai mengelupas kulit dan dagingnya. Tetapi semua itu tidak menghalangi mereka dari din mereka…” (riwayat Bukhari)

Allah merakamkan juga di dalam al-Quran;

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. [QS:2:214]

Sesungguhnya kita masih belum diuji dengan ujian yang getir dan besar, dan ketika ini, zaman yang langsung ini, kita melihat paling teruk ialah apa yang dialami oleh para kader Ikhwanul Muslimin di Mesir, diseksa dengan teruk (sila rujuk catatan Mariam Jamilah, kisah Syed Qutb, dsb.), dipenjara dan seumpamanya. Juga mereka yang mempertahankan Gaza daripada pengkhianatan dan pencabulan Israel, yakni HAMAS. Mereka diasak, dibantai dengan keji sekali, 22 hari peperangan berlangsung dan dunia hanya melihat, termasuklah negara Arab yang besar, apalagi Mesir yang membuat khianat kepada jirannya. Dan mereka tetap mempertahankan aqidah Islamiyyah ini. Ibu-ibu ada yang merelakan pemergian anak mereka ‘athfalul hijarah’ [anak-anak pelontar batu] untuk keluar di pagi hari dan pulang petangnya sebagai syahid. Dan kita di Malaysia dengan senangnya menggadaikan aqidah yang tidak ternilai ini. Bahkan ada yang menyalahkan Allah atas nasib yang menimpa mereka, walhal mereka sendiri tidak pernah kenal siapa Allah.

Hakikatnya, kita hari ini diuji dengan harta, kekayaan, pangkat, jawatan, nama, populariti dan sebagainya, sehinggakan kita tersasar daripada fokus utama dalam mencari redha Allah. Kita sebegini lembut, mudah terjatuh dan tersungkur kapan teruji dengan hal-hal ini, apakah kita akan tetap pula utuh berdiri kapan diasak dan diuji sebagaimana nabi SAW diuji ketika di Thaif? Ketika perang Khandak? Seperti ikhwanul Muslimin ketika Mesir di bawah pimpinan Jamal Nasir sehingga sekarang? Seperti HAMAS yang bertubi-tubi diasak dan dihimpit oleh agenda penipuan dan pembohongan licik Israel dan Amerika?

Semoga kita terus berjaga-jaga, semoga kita terus jelas dan faham ke mana hala tuju kita, semoga kita tetap berpegang kukuh dengan manhaj nubuwwah yang kita bangga-banggakan, semoga kita tetap tsabat di atas jalan dakwah ini. Allahumma ameen.

rujukan

Terjemahan al-Quran Majmu'ah Rasa`il [asy-Syahid Imam Hassan al-Banna] ar-Raheeq al-Makhtum [Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri] Fi Zilalil Quran [Sayed Qutb] Risalah Usrah [Abu Urwah] Tariiqud Dakwah [al-Ustadz Mustafa Masyhur]

Comments :

0 komentar to “Tabi'at Jalan Dakwah”

Posting Komentar


Jadwal Sholat

 

Copyright © 2009 by DPC PKS Gajahmungkur Rindu Semarang Berubah Powered By Blogger Design by PKSGM-Team